Thursday, 23 April 2009

attribute to them

Anakku

Di hari kau melihat aku tua,
Dan aku kanak-kanak semula,
Bersabarlah,
Dan cubalah memahamiku.

Jika kau lihat betapa kotornya aku ketika makan,
Kalau aku tidak mampu memakai sendiri,
Bersabarlah,
Kenangkan kembali,
Waktu-waktu panjang,
Yang aku gunakan untuk mengajar mu dulu.

Dan kalau,
Ketika berbicara denganmu,
Ribuan kali kuulangi bicara serupa,
Usahlah mencelah walau sekali cuma,
Tapi dengarlah,
Kerana ketika kecilmu,
Telah kubacakan untukmu ribuan kali,
Ceritera yang sama,
Sampai kau terlena.

Bila aku tak mahu mandi,
Jangan malukan aku,
Atau memarahiku,
Ingatlah ketika aku terpaksa mengejarmu,
Sambil memujukmu dengan pelbagai alasan,
Supaya kau mau dibersihkan.

Bila kau lihat kejahilanku,
Tentang pelbagai teknologi baru,
Berilah aku secukup waktu,
Janganlah tersenyum mengejekku,
Aku telah mengajarmu banyak perkara,
Makan dengan baik,
Pakai dengan betul,
Dan bijak mengharungi hidup.

Bila pada detik-detik tertentu aku kelupaan,
Atau terputus bicara kita,
Berilah aku kesempatan untuk mengingat,
Dan jika aku tidak berdaya melakukan,
Usahlah cemas,
Kerana yang penting bukanlah bicaraku,
Tapi keberadaanku bersamamu,
Dan kau mendengariku.

Jika sesekali aku enggan makan,
Jangan paksa aku,
Aku tahu sebenarnya,
Bila aku perlu makan,
Dan bila tidaknya,
Bila kakiku yang lemah ini,
Membuatku tak bisa melangkah,
Hulurlah tanganmu,
Seperti yang ku lakukan,
Ketika pertama kau bertatih.

Dan bila suatu hari aku berkata padamu,
Aku tak mahu hidup lagi,
Aku merindui mati,
Janganlah jadi marah,
Suatu hari kau akan mengerti,
Bahawa aku bukanlah terus hidup,
Cuma dilanjutkan usia.

Suatu hari nanti,
Kau akan tahu sendiri,
Walau berapa kali kesilapan terjadi,
Aku sebenarnya mahu yang terbaik untukmu,
Menyedia denai-denai untuk kau jalani.

Kau tidak harus bersedih, marah atau tidak bermaya,
Melihat aku di sisimu,
Kau harus di sampingku, cuma memahamiku,
Dan membantuku,
Seperti yang pernah kulakukan padamu,
Ketika kau mula mengharungi hidup.

Bantulah aku berjalan,
Bantulah aku mengakhiri sisa-sisa hidup,
Dengan kasih dan penuh sabar,
Aku akan membalas kebaikan mu,
Dengan senyuman,
Dan kau sentiasa,
Dalam limpahan kasih sayang.

Aku menyayangimu anakku...

Ayahmu.

*Note : Sajak terjemahan dari puisi seorang penulis Cina, namanya tidak diketahui. Terjemahan dilakukan oleh Abu Bakar Yahaya berdasarkan versi bahasa Inggeris.

1 comment:

Unknown said...

isk isk
sedey betol poem ni..
tersedu aku ketika menikmati bait bait nukilan ini..

Followers